Assalamualaikum semua :)
Program j-QAF adalah suatu usaha memperkasakan
Pendidikan Islam (PI) melalui penekanan khusus dalam pengajaran Jawi, al-Quran,
Bahasa Arab dan Fardu Ain yang dilaksanakan di peringkat sekolah rendah bermula
tahun 2005.
Pelaksanaan program ini menggunakan kurikulum serta model dan
modulnya yang tersendiri. Tenaga guru yang khusus digunakan untuk pemulihan,
bimbingan, kemahiran, pengukuhan, pengayaan dan penghayatan murid.
Pelaksanaannya menggunakan peruntukan jadual waktu sedia ada.Kecuali program
TASMIK dan KEM BESTARI SOLAT yang diadakan di luar jadual waktu sekolah. Namun
Program Tasmik boleh dilaksanakan dalam waktu persekolahan dengan syarat tidak
mengganggu P&P lain dan waktu subjek lain tidak dikurangkan. Semuanya di
atas budi bicara pentadbir.
Murid-murid istimewa dalam sistem pendidikan
khas juga akan dilibatkan dalam program j-QAF. Pelaksanaan ini memerlukan
tenaga guru yang khas, bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran, bahan-bahan sokongan
dan insentif yang khas serta kemudahan-kemudahan lain.
OBJEKTIF PROGRAM j-QAF :
Setelah program ini dilaksanakan dengan baik
dan berkesan, semua murid Islam sekolah rendah akan dapat:
* Menguasai bacaan dan tulisan jawi
* Khatam al-Quran
* Menguasai asas Bahasa Arab Komunikasi
* Memantapkan dan menghayati amalan Fardhu Ain
KEPENTINGAN PROGRAM j-QAF :
Program j-QAF menjadi lebih penting sebagai
suatu usaha ke arah memperkasakan PI yang sedia ada supaya semua bidang dalam
PI iaitu bidang Tilawah al-Qur’an, bidang Aqidah, Ibadah, Sirah Nabawi Akhlak
dan Jawi lebih berkesan dan dapat dihayati dan diamalkan dalam kehidupan.
1. Pemulihan Jawi
Jawi adalah sebahagian daripada komponen
pendidikan Islam dan mula dilaksanakan pada tahun 2003 dengan pendekatan
pengajaran 2 waktu seminggu pada 6 bulan pertama di tahun satu. Laporan
pemantauan mengenainya mendapati penguasaan bacaan dan tulisan Jawi perlu
dibaiki lagi. Ini bermakna jawi dalam pendidikan Islam semata- mata masih belum
mencukupi dan berkesan. Oleh itu pemulihan Jawi dalam j-QAF menjadi keutamaan
khasnya kepada murid tercicir supaya semua murid boleh menguasai Jawi setelah
diberi bimbingan secara berterusan.
2. Kepentingan Khatam al-Qur’an
Al-Quran pula telah diajar sebagai sebahagian
Pendidikan Islam dalam bidang Asuhan Tilawah al–Quran pada masa ini. Namun ia
tidak menekankan pembelajaran sehingga khatam al-Quran kerana ia memerlukan
bimbingan berterusan daripada bilangan guru yang sesuai dengan nisbah murid
yang menepati pendekatan talaqqi dan musyafahah (iaitu satu kaedah pembelajaran
secara bersemuka dengan guru bagi mendengar, membetul kesalahan dan menyebut
semula dengan baik dan lancar). Oleh itu PI pada masa ini hanya menjurus kepada
kebolehan membaca sahaja manakala aspek khatam tidak ditekankan di sekolah
tetapi menyerahkannya kepada masyarakat.
MODEL-MODEL PROGRAM j-QAF:
1. Model Kelas Pemulihan Jawi
Model Pemulihan Jawi diperjelaskan di dalam
Buku Panduan Perlaksanaan Model kelas Pemulihan Jawi. Ia akan diajar oleh guru
khas pemulihan jawi dalam waktu yang sama dengan kelas jawi biasa di semua
sekolah dengan menggunakan modul pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang
disediakan oleh Kementerian Pelajaran. Semua sekolah hendaklah menubuhkan Kelab
Seni Tulisan Jawi dan menjalankan aktiviti pengukuhan di peringkat sekolah
dengan menyediakan bahan-bahan bacaan tambahan yang bersesuaian serta
mempertingkatkan penggunaan kemudahan ICT sedia ada.
2. Model Khatam Al-Quran
Khatam Al-Quran diperjelaskan di dalam buku
panduan Perlaksanaan Program Khatam Qur’an Model 6 Bulan dan Buku Panduan
Program Khatam al-Qur’an Model Tasmik.
Model 6 Bulan dilaksanakan mengikut modul yang
telah ditetapkan dengan menggunakan peruntukan waktu PI sedia ada. Model ini
akan menggunakan pendekatan talaqqi dan musyafahah. Murid yang belum menguasai
bacaan al-Quran dibimbing dengan kaedah IQRA’, sementara yang telah
menguasainya diteruskan menggunakan model khatam al-Quran.
3. Model Tasmik
Model Tasmik pula dilaksanakan di luar waktu
persekolahan normal mengikut kesesuaian dan keupayaan murid serta dengan
persetujuan ibu bapa mereka dan kesediaan guru pembimbing yang terdiri daripada
guru j-QAF, GPI, guru-guru mata pelajaran lain yang berkemampuan, atau pembimbing
luar yang sesuai. Guru pembimbing tersebut hendaklah dilantik secara rasmi oleh
pihak sekolah dan insentif khas wajar dipertimbangkan.
4. Model Bahasa Arab
Bahasa Arab Komunikasi (BAK) yang sedang
dilaksanakan pada masa ini di sekolah-sekolah kebangsaan akan diperluaskan
pelaksanaannya di semua sekolah. Status mata pelajaran ini adalah sebagai mata
pelajaran pilihan. Walau bagaimanapun murid diwajibkan memilih BAK sekiranya
tidak mengambil mata pelajaran Bahasa Cina dan Tamil. Peruntukan waktu adalah
60 minit seminggu dan diajar oleh guru Bahasa Arab yang dilantik khusus.
5. Model Bestari Solat
Pelaksanaannya selama dua hari tanpa bermalam
dengan kekerapan 4 kali setahun. Ia dikategorikan sebagai aktiviti kokurikulum
PI dan dimasukkan dalam takwim sekolah. Pelaksanaannya juga memerlukan
kerjasama semua pihak terutama penglibatan PIBG, guru-guru sedia ada di sekolah
dan tidak semata-mata diserahkan kepada guru pendidikan Islam.
GOOD LUCK FOR INTERVIEW!
No comments:
Post a Comment